Wahai
anakku ! Elakkan dirimu dari membuat hutang kerana sesungguhnya dengan
berhutang itu akan menjadikan dirimu hina diwaktu siang hari dan
menjadikan dirimu gelisah di waktu malam hari.
Wahai
anakku ! Sekiranya kedua ibubapamu memarahimu kerana sesuatu kesalahan
yang telah kamu lakukan maka kemarahan kedua mereka itu adalah seperti
baja untuk menyuburkan tanaman.
Wahai
anakku ! Engkau akan dapat rasakan betapa beratnya ketika mengangkat
batu yang besar atau besi yang padat tetapi ada yang lebih berat dari
itu iaitu apabila kamu mempunyai jiran tetangga yang jahat.
Wahai
anakku ! Tidaklah dinamakan kebaikan sekalipun kamu sibuk mencari dan
mengumpul ilmu pengetahuan tetapi tidak pernah mengamalkannya. Perbuatan
ini tak ubah seperti seorang pencari kayu api yang sentiasa menambah
timbunan kayunya sedangkan ia tidak mampu untuk mengangkatnya.
Wahai
anakku ! Berhati-hatilah terhadap tutur tata dan bicaramu, peliharalah
budi bahasamu dan sentiasalah bermanis muka nescaya kamu akan disenangi
dan disukai oleh orang yang berada di sekelilingmu. Perumpamaannya
seolah mereka telah mendapat barang yang amat berharga darimu.
Wahai
anakku ! Jika kamu mahu mencari sahabat sejati maka kamu ujilah ia
terlebih dahulu dengan berpura-pura membuatkan ia marah terhadapmu.
Sekiranya dalam kemarahan itu ia masih mahu menasihati, menyedarkan dan
menginsafkan kamu, maka dialah sahabat yang dicari. Jika berlaku
sebaliknya maka berwaspadalah kamu terhadapnya.
Wahai
anakku ! Bila kamu mempunyai teman yang karib maka jadikanlah dirimu
sebagai seorang yang tidak mengharapkan sesuatu apapun darinya
sebaliknya biarkanlah temanmu itu sahaja yang mengharapkan sesuatu
darimu.
Wahai
anakku ! Jagalah dirimu selalu supaya tidak terlalu condong kepada dunia
dan segala kesenangan dan kemewahannya kerana Allah tidak menciptakan
kamu hanya untuk kehidupan di dunia sahaja. Ketahuilah tidak ada makhluk
yang lebih hina selain dari mereka yang telah diperdayakan oleh dunia.
Wahai
anakku ! Janganlah kamu ketawa jika tiada sesuatu yang menggelikan,
janganlah kamu berjalan jika tiada arah hala tujuan, janganlah kamu
bertanya tentang sesuatu yang tidak memberi apa-apa faedah pun kepadamu
dan janganlah kamu mensia-siakan hartamu pada jalan maksiat.
Wahai
anakku ! Sesiapa yang bersifat penyayang sudah tentu dia akan disayang,
sesiapa yang bersifat pendiam sudah tentu dia akan selamat dari
mengeluarkan perkataan yang sia-sia. Ketahuilah sesiapa yang tidak dapat
menahan lidahnya dari mengeluarkan ucapan kotor, sudah tentu ia akan
menyesal kelak.
Wahai
anakku ! Bergaul dan berkawanlah dengan orang-orang yang soleh dan
berilmu. Bukalah pintu hatimu dan dengarlah segala nasihat dan tunjuk
ajar darinya. Sesungguhnya nasihat dari mereka bagaikan mutiara hikmah
yang bercahaya yang dapat menyuburkan hatimu seperti tanah kering lalu
disirami air hujan.
Wahai
anakku ! Sesungguhnya kehidupan kita ini diibaratkan seperti sebuah
kapal yang belayar di lautan dalam dan telah banyak manusia yang karam
didalamnya. Jika kita ingin selamat maka belayarlah dengan kapal yang
bernama takwa, isi kandungannya ialah iman sedang layarnya pula ialah
tawakal kepada Allah.
Wahai
anakku ! Bila kamu menerima dua undangan majlis, satu majlis perkahwinan
dan satu lagi majlis takziah kematian, maka utamakanlah majlis kematian
kerana dengan menghadiri majlis ini akan mengingatkan kamu kepada
kampung akhirat, sedangkan dengan menghadiri majlis perkahwinan akan
mengingatkan kamu kepada keseronokkan dunia sahaja.
Wahai
anakku ! Janganlah kamu terus menelan apa saja yang kamu rasa manis dan
meludah setiap apa yang kamu rasa pahit. Ingatlah, tidak semua yang
manis itu akan menjadikan kita segar dan tidak semua yang pahit itu akan
menjadikan kita segar.
Wahai
anakku ! Janganlah kamu makan dengan terlalu kenyang yang
berlebih-lebihan. Sesungguhnya adalah lebih baik jika bahagian dari yang
kenyang itu diberikan kepada anjing sahaja.
Wahai
anakku ! Carilah harta di dunia ini sekadar keperluanmu sahaja dan
nafkahkanlah hartamu yang selebihnya pada jalan Allah sebagai bekalan di
akhirat. Janganlah kamu membuat dunia ini kelak dirimu akan menjadi
pengemis dan membebankan pula orang lain tetapi jangan pula kamu terlalu
mengejar dunia sehingga terlupa bahawa kamu akan mati. Ketahuilah, apa
yang kamu makan dan pakai itu semuanya dari tanah belaka.
Wahai
anakku ! Jangan kamu melantik seseorang yang bodoh menjadi utusanmu.
Jika tiada siapa yang lebih cerdas, pintar dan bijak maka yang sebaiknya
dirimu sendirilah yang menjadi utusan.
Wahai
anakku ! Orang yang bersedia untuk mendengar nasihat dan bimbingan dari
orang yang lebih alim, maka dia layak untuk mendapat penjagaan dari
Allah tetapi bagi orang yang insaf dan sedar setelah menerima teguran
maka dia lebih layak untuk mendapat kemulian dari Allah