Thursday, July 26, 2012

Renungan Ramadhan

Hadith: 
 
Daripada Abu Ayub r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda, Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun.
Huraian Hadith: 
 
1. Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan kebaikan dan kebajikan secara berterusan, walaupun sedikit.
2. Orang yang berpuasa Ramadhan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun. Hal ini disebabkan puasa sunat satu hari bersamaan pahalanya dengan sepuluh hari. Manakala puasa Ramadhan bersamaan dengan sepuluh bulan, maka enam hari puasa sunat bersamaan dengan dua bulan, kemudian dicampurkan dengan sepuluh bulan jumlahnya menjadi setahun.
3. Seseorang yang hendak berpuasa sunat di bulan Syawal adalah lebih afdhal berturutan seperti puasa bulan Ramadhan tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari selama dalam tempoh bulan Syawal itu.
 
 
 
 
 
Hadith: 
 
Daripada Abu Said al-Khudri r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sahari dengan niat kerana Allah, melainkan akan Allah jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya.
 
Huraian Hadith: 
 
Setiap orang yang berpuasa dengan niat yang ikhlas kerana Allah, kemudian memelihara puasanya daripada amalan-amalan yang ditegah, Allah akan membalasnya dengan menjauhkan dirinya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun perjalanan. Sesungguhnya setiap amalan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh meskipun sedikit tetap ada ganjarannya dan dinilai oleh Allah SWT. Ia menjadi saham yang boleh membantu manusia tersebut di akhirat kelak.
 
 
 
 
 
 
Hadith: 
 
Daripada Amru bin al-Aas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Perbezaan diantara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu ialah dengan makan sahur.
 
Huraian Hadith: 
 
1. Manusia sejak dari zaman dahulu kala lagi telah mengenali amalan puasa. Mereka berpuasa bukan sahaja didorong oleh agama tetapi juga kerana beberapa tujuan tertentu.
2. Ibadat puasa yang telah diwajibkan ke atas umat Islam juga telah dilakukan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani, cuma terdapat beberapa perbezaan :
i. Orang-orang Islam menyegerakan berbuka puasa sedangkan orang Yahudi dan Nasrani melambat-lambatkannya. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Agama akan sentiasa tampak syi'arnya dengan nyata selama orang Islam berbuka puasa dengan segera (tepat pada waktunya), sebab orang-orang Yahudi dan Nasrani melambatkannya.
ii. Disunatkan bagi orang Islam yang berpuasa makan sahur sebelum masuknya waktu subuh kerana dengan makan sahur boleh memberi kekuatan untuk berpuasa pada siang hari dan qailulah (tidur sekejap) pada siang hari (sebelum Zohor) boleh memberi kekuatan untuk qiamullail.
3. Umat Islam hendaklah berpuasa dengan niat yang ikhlas kerana Allah dan tidak mengerjakannya kerana menganggap bahawa ia adalah suatu tradisi (ikut-ikutan). Bahkan apa sahaja ibadat yang dilakukan perlu dilakukan dengan ketaatan dan kesedaran tentang kewajipan untuk mengerjakannya.
 
 
Hadith: 
 
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda; Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu.
 
Huraian Hadith: 
1. Antara keistimewaan puasa ialah Allah S.W.T. akan menggandakan pahala bagi orang-orang yang berpuasa melebihi amalan-amalan yang dilakukan pada bulan-bulan yang lain.
2. Orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan ketaqwaan serta mengharapkan keredhaan Allah, maka baginya keampunan dari segala dosa-dosa yang pernah dilakukan itu.
3. Ramadhan adalah bulan yang paling mulia di mana di dalamnya terkandung seribu keberkatan. Malah pada bulan inilah juga Allah S.W.T menurunkan kitab al-Quran. 
 
 
 
Hadith: 
 
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:" Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.
 
Huraian Hadith: 
 
Pengajaran Hadis:
i) Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak.
ii) Bersedekah bukan hanya memberikan wang, tetapi termasuk di dalamnya mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa.
iii) Konsep "memberi" (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja selama Ramadhan bahkan di bulan-bulan lain juga kerana selalu bersedekah akan memberikan pengaruh yang baik pada peribadi dan masyarakat umumnya di mana seseorang itu akan dapat menghakis sifat kedekut dalam dirinya di samping mempereratkan lagi ikatan kemesraan di dalam anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.
iv) Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.
 
 
 
 
 
Hadith: 
 
Aisyah r.a. berkata: Dulu kami haid di zaman Rasulullah S.A.W. Maka kami diperintahkan mengqadha puasa dan tidak diperintahkan mengqadha solat.
 
Huraian Hadith:
 
1. Bagi kaum wanita yang tidak dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan kerana kedatangan haid, puasa sunat 6 hari dalam Syawal akan memberi peluang terbaik untuk mereka mengqadha' puasa di samping mendapatkan pahala berpuasa sunat.
2. Kebiasaan melambatkan qadha sehingga hampir Ramadhan akan datang adalah satu amalan yang tidak sepatutnya dilakukan kerana ibadat wajib jika ditinggalkan sewajarnya segera diqadha' sebagai menunjukkan sikap pengabdian diri terhadap Allah S.W.T kerana apakah makna dan tujuan kita melambatkan qadha' puasa wajib? Tidak lain menunjukkan seolah-olah kita keberatan untuk menunaikan kewajiban yang telah kita tinggalkan. Oleh itu selagi kesempatan diberikan pergunakanlah ia dengan sebaik-baiknya kerana masa akan terus berlalu sedangkan Allah telah bersumpah dalam al-Quran yang maksudnya:Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (al-Asr :1-3)

0 comments:

Post a Comment